#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Didikan Guru Tentang Al-Quran

Kentalnya iman Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika menerima seksaan kerana mempertahankan kesucian al-Quran. Begitu juga hebatnya Sheikh Badiuzzaman Said An-Nursi membawa risalah al-Quran untuk disebarkan kepada ummah. Tatkala ditanya tentang akhlak nabi SAW, Sayyidatina Aisyah menjawab, “Akhlaknya adalah al-Quran”. Aku sangat terpikat dengan sebuah sajak yang bertajuk ‘Lelaki Acuan Al-Quran’. Al-Quran bukan sekadar dibaca, malah perlu difahami dan diaplikasikan, lebih cantik dihafaz.


Ust Abd Rahman Abdullah, Guru Kelas Qiraati

Mempelajari modul Qiraati bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bagi sesetengah kanak-kanak. Kerana masa untuk bermain lebih ‘berharga’. Oleh kerana diriku agak lemah dalam mengenal huruf al-Quran, aku dihantar ke kelas Qiraati. Kadangkala perasaan malu itu timbul apabila melihat pelajar yang lebih muda daripada aku lebih advance.
Aku masih ingat ketika ust membuat test bacaan basmallah, ramai yang tidak tepat bacaannya dan hukuman adalah rotan. Ust sangat tegas dalam mengajar ilmu al-Quran. Itu mungkin juga terkesan dari didikan bapa beliau iaitu Baba Lah. Beliau selalu menceritakan perihal didikan ayah beliau. Memang sangat tegas, tapi tegas yang sangat berharga.


Ust Li Laden, Rantau Panjang

Orangnya lemah lembut, mempunyai suara yang merdu, peribadinya memikat hati. Aku mula belajar dengan beliau ketika di sekolah menengah. Selepas aku melanjutkan pelajaran ke maahad, aku hanya sempat belajar jika ada kesempatan ketika pulang ke rumah. Beliau sangat menekankan soal tajwid dan makhraj. Walaupun beliau sudah mempunya title ust, namun beliau tidak segan untuk menambah ilmu dengan bertalaqqi dengan guru-guru
al-Quran yang lain.


Ust Mad, Maahad Tahfiz Darul Riyadh

Aku mengenali beliau ketika di Darul Riyadh. Usia beliau masih muda ketika itu iaitu 20an. Sepanjang berada di Darul Riyadh, aku mengikuti kelas beliau. Masih segar dalam ingatan, ust pernah ajarkan aku cara membaca al-Quran dalam keadaan hidung ditutup. Tujuannya ialah untuk memastikan huruf tidak keluar melalui hidung (ngidung). Aku juga mendapat ‘hadiah’ daripada ust ketika tasmi’ iaitu dirotan di bahu.


Allahyarham Al-Fadhil Ust Fauzi, Mudir Maahad Tahfiz Darul Riyadh

Aku sangat merindui sentuhan beliau. Walaupun tak sempat belajar secara langsung dengan beliau, cukuplah setiap hari melihat beliau tekun mendidik anak murid beliau. Aku teringat Ust Mad pernah memberitahu kepada aku tentang kehebatan hafalan Ust Fauzi dan juga mutu hasil didikan beliau. Beliau sangat menekankan soal kualiti, bagi beliau kualiti bacaan lebih penting daripada kuantiti hafazan. Memang betul, anak-anak murid semua hebat-hebat belaka. Ramai yang menjadi johan musabaqah hafazan al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Setiap kali aku pergi melawat Darul Riyadh, arwah selalu bertanya, bila mahu datang mengajar di Darul Riyadh. Hati kecilku terasa sangat kerdil.


Al-Fadhil Ust Abdullah Daud (Baba Loh), Rantau Panjang

Pengajian talaqqi setiap pagi jumaat di rumah beliau amat bermakna. Bukan mudah untuk murid ‘merelakan’ diri pergi bertalaqqi dengan beliau. Tapi kerana kesedaran diri ini jahil tentang al-Quran dan juga berasa rugi tidak mengambil peluang dengan ulama yang berada berhampiran rumah, memaksa aku pergi belajar bersama dengan sahabat-sahabat lain.
Pengajian bersama Baba Lah bersifat komprehensif, bukan sekadar ilmu tajwid diajar, malah yang menyeronokkan Ilmu Nahu dan Ilmu Tafsir juga diselitkan. Memang tidak dinafikan, perasaan takut kadangkala menyelubungi. Aku pernah tersilap ketika membaca di hadapan beliau, Alhamdulillah hanya sekadar gosokan di paha yang aku terima dari beliau. Sahabatku yang sudah lama bertalaqqi dengan beliau memberitahu kepadaku, Baba Lah berpesan sebelum menghafaz al-Quran pastikan bacaan betul lancar dan fasih. Untuk sesetengah anak murid beliau, beliau tidak benarkan mula menghafaz al-Quran selagi bacaan tidak betul.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. :“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )


Prof Hasan, Bekas Pensyarah FPQS

Gandingan trio dari Fakulti al-Quran dan Sunnah, Prof Hasan, Prof Mustapha dan Prof Jabir menggamit jiwa. Sangat rugi hanya sempat sekali bertandang ke rumah Prof Hasan di Desa Anggerik. Layanan cukup istimewa diberikan. Memang betul kata orang, orang arab memang sangat meraikan tetamu.. Dalam pengajian bersama Prof, di samping penekanan soal tajwid, beliau juga menyelitkan tafsir untuk memahami ayat al-Quran yang dibaca. Kini beliau telah kembali ke al-Azhar


Hidup kita berteraskan al-Quran dan as-Sunnah tanpa menafikan ijmak dan qias dalam perundangan islam. Usaha murni melahirkan Generasi Al-Quran yang Unik perlu diperkasakan. Biar al-Quran meresapi ke dalam jiwa seterusnya diterjemahkan dengan akhlak kita. Didiklah diri dengan al-Quran, sesungguhnya Rasulullah SAW diumpamakan sebagai ‘Al-Quran yang Hidup’
Previous
Next Post »