Sungguh tepat keputusan Umar Al-Khattab memilih hijrah sebagai permulaan tarikh kalendar Islam.
Keagungan nilai hijrah meyakinkan Umar bahawa hijrah sepatutnya menjadi permulaan bagi kalendar Islam. Tajdid dalam hidup manusia saban tahun. Keazaman, pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan menjadi teras kepada HIJRAH.
Hijrah Meledakkan Perubahan
Peristiwa hijrah bukan hanya menampilkan peristiwa persaudaraan antara muhajirin dan ansar, malah lebih dari itu. Betul, jika dinilai dari sudut sosial Rasulullah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar melalui peristiwa Hijrah. Persaudaraan yang diikat dengan ikatan aqidah yang sangat utuh, sehingga dicemburui oleh generasi pada hari ini.
Manusia saling melengkapi. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Golongan Ansor terkenal dengan kepakaran dalam bidang pertanian, manakala gologan Muhajirin terkenal dengan kepakaran dalam urusan perniagaan. Gabungan kepakaran dalam bidang masing-masing menghasilkan momentum yang cukup kuat untuk meretakkan monopoli kaum yahudi dalam sektor perdagangan, pertanian dan sumber air di Madinah. Kedatangan golongan Muhajirin seolah-olah memberi signal kepada kaum Yahudi tentang kejatuhan mereka.
Antara strategi yang dilakukan, ketika di Madinah nabi membuka pasar berasingan untuk kaum muslimin supaya dapat mengurangkan perbelanjaan di pasar kaum Yahudi seterusnya menyempitkan ruang perniagaan Yahudi. Rasulullah juga menggalakkan muslimin menceburi bidang pertanian dan baginda juga mengisytiharkan pemilikan tanah bagi mereka yang usahakan tanahyang mati. Bagi sumber air, Saiyiduna Uthman telah membeli telaga di sekitar Madinah dan Rasulullah juga menyuruh sahabat menggali lebih 50 buah telaga di sekitar Madinah.
Dari sudut politik (siasah), mereka berhak untuk mentakrif peraturan-peraturan yang berkaitan dengan hubungan dalaman dan luaran masyarakat Islam dan mendefinisi hal-hal yang berkaitan dengan perang dan damai. Seterusnya terbentuk sebuah Sahifah Madinah, perlembagaan bertulis pertama di dunia.
Hijrah: Pentadbiran Islam Moden
Prose pembentukan Negara Madinah sebenarnya bermula di Mekah lagi. Ini didasari dengan permulaan gerak kerja Rasulullah di Mekah adalah untuk menanamkan aqidah yang kukuh dalam diri umat islam selama 13 tahun. Seterusnya penghijrahan ke Madinah merupakan proses praktikal buat umat islam.
Kekuatan aqidah menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah Negara islam yang maju. Boleh dilihat di beberapa Negara yang maju tetapi mempunyai konflik fahaman yang amat teruk. Contohnya, negara yang mendokong isme tak akan bertahan lama. Seperti rumah yang diserang anai-anai. Luaran cantik, dalaman sudah rosak menanti rebah.
Kekuatan sebuah pentadbiran negara islam bergantung kepada aspek dalaman dan luaran. Prinsip-prinsip kekuatan dalaman merangkum Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan (UMI). Manakala prinsip pengukuhan luaran merangkumi Tazkiyah, Isti’mar dan Tamkin
Pengaplikasian prinsip tersebut berdasarkan konteks hijrah ialah Prinsip Ubudiyah; mendorong Rasulullah dan para sahabat berhijrah ke Madinah. Mas’uliyah; tanggungjawab Abu Bakar dan Ali berpartisipasi semasa hijrah. Itqan; muhajirin dan ansar bergabung dalam mempraktikkan kepakaran mereka bagi memajukan islam dalam masa yang sama memecahkan monopoli Yahudi.
Peranan prinsip dalam pengukuhan luaran seperti Tazkiyah; pembangunan yang disucikan (growth with purification) atau dasar yang dibentuk tidak bercanggah dengan syariat. Isti’mar; memperkasakan sosio-ekonomi bagi kehidupan rakyat. Tamkin; kewujudan skim sosio-politik yang autoritatif yang menjamin kestabilan dan keamanan.
Salah satu sebab berlaku Peristiwa Hijrah adalah memenuhi perintah Allah, tapi jika perhalusi lagi hijrah merupakan garis pemisah antara zaman jahiliah dan juga pra-kegemilangan islam. Ini dapat dikaji dengan kesan daripada perubahan pemikiran (trasnformasi minda) Muhajirin dan Ansor, seterusnya islam yang syamil diterapkan dalam kehidupan. Proses-proses yang berlaku merupakan anak tangga kepada Daulah Islamiyah Madinah.
*Tulisan ini adalah olahan dari buku Teori Domino: PRU13 BN Tumbang
Sign up here with your email