#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Pedoman Ghulam Dakwah Buat Para Da'i

#Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang#

#Dan Hari (Pembalasan) yang dijanjikan#

#Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan#

#Celakalah kaum yang menggali parit#

#(Parit) Api yang penuh dengan bahan bakar#

#(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk disekelilingnya#

#Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang yang beriman#

#Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji#

Al-Buruj 1-8


Di dalam sahih Muslim, Kitab az-Zuhud wa ar-Raqaa'iq, hadith #7148 diriwayatkan oleh Suhaib bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

Ada seorang raja pada suatu masa dahulu sebelum kamu yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir itu semakin tua, berkata dia kepada raja tersebut, "Sesungguhnya aku sudah semakin tua, maka datangkanlah padaku seorang budak supaya dapat aku mengajarnya ilmu sihir". Maka didatangkan kepadanya seorang budak dan diajarnya. Suatu ketika dalam perjalanan budak tersebut (belajar dengan ahli sihir), dia berjumpa dengan seorang rahib, maka dia duduk di sisi rahib tersebut dan mendengar kata-katanya yang menakjubkan dia. Maka
begitulah seterusnya apabila dia hendak berjumpa dengan ahli sihir, dia akan berselisih dengan rahib tersebut dan duduk disisinya.


Apabila dia bertemu ahli sihir tersebut, dia dipukulnya (kerana terlewat). Maka budak tersebut mengadukan hal ini pada rahib tadi. Kata rahib tersebut, “Kalau kamu takut pada ahli sihir (kalau-kalau dipukul), maka katakan keluargaku menahanku. Kalau kamu takut pada keluargamu (kalau-kalau dipukul), maka katakan ahli sihir menahanku”. Maka begitulah seterusnya hingga pada suatu ha
ri, muncullah seekor binatang yang besar yang menghalang manusia (daripada lalu lalang). Maka berkata budak tadi, "Hari ini aku akan mengetahui siapa yang lebih baik, ahli sihir ataupun rahib". Maka diambilnya sebiji batu dan berkata “Allahumma kalau perbuatan rahib lebih kau cintai dari perbuatan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini hingga orang boleh lalu lalang seperti sediakala”. Maka dilemparnya (binatang tadi) dan terbunuhlah ia (binatang tadi) hingga membolehkan orang lalu lalang. Maka dia pun pergi kepada rahib dan menceritakan apa yang berlaku. Rahib pun berkata kepadanya, "Wahai anakku, pada hari ini, engkau sudah menjadi lebih baik dariku, dirimu telah sampai kepada satu tahap di mana engkau akan diuji. Dan apabila engkau diuji, maka jangan kau tunjukkan/dedahkan identiti aku."

Kemudian seterusnya, budak tersebut berjaya menyembuhkan pesakit kusta dan yang buta, dan mula mengubati orang ramai dari pelbagai penyakit. Maka seorang daripada pegawai/menteri kepada raja tersebut mendengar (hal budak ini merawat orang sakit) sedang dia itu buta, lalu dia datang kepada budak tersebut dengan hadiah yang banyak dan berkata, “Apa yang ada disini semuanya untuk kau seandainya kau dapat menyembuhkan aku”. Kata budak tersebut “Sesungguhnya aku tak boleh menyembuhkan seseorang, tetapi yang menyembuhkan ialah Allah. Sekiranya engkau beriman kepada Allah, aku akan berdoa kepada Allah (supaya menyembuhkan kau). Dia pun beriman kepada Allah dan Allah menyembuhkan penyakitnya.


Maka pembesar tadi pergi kepada raja dan duduk bersama-samanya seperti biasa. Maka raja berkata kepadanya, “Siapa yang mengembalikan penglihatan kau.” Pembesar tersebut berkata, “Rabbi”. Raja bertanya “Adakah kau mempunyai tuhan selainku”. Pembesar menjawab “Tuhanku dan tuhanmu ialah Allah”. Maka raja pun menyiksanya tanpa henti sehingga dia memberitahu perihal budak tadi. Maka budak tadi pun dipanggil. Raja berkata, "Wahai budak, telah sampai kepadaku
berita tentang sihirmu yang menyembuhkan orang buta dan kusta dan kau berbuat begitu dan begini." Maka berkata budak tersebut, “Sesungguhnya aku tidak menyembuhkan tetapi Allah yang menyembuhkan." Maka raja pun menyiksa budak tadi tanpa henti hingga dia akhirnya mendedahkan identiti rahib. Maka rahib pun diseru oleh raja dan dikatakan kepadanya, “Keluarlah daripada agamamu!” Dia membantah maka diletakkan gergaji di atas kepalanya kemudian digergajinya rahib tadi hingga terputus dua. Kemudian dibawa pula pembesar raja tadi dan dikatakan kepadanya, “Keluar daripada agamamu”. Dia membantah maka diletakkan gergaji di tengah kepalanya dan digergajinya hingga terputus dua.

Kemudian dibawa pula budak tadi dan dikatakan kepadanya “Keluar daripada agamamu!” Dia membantah, lalu diserahkan budak tadi kepada sekumpulan daripada pembantu-pembantu raja tersebut. Raja berkata, "Pergilah kamu semua dengan budak ini ke satu gunung, dakilah gunung tersebut, dan perintahkan lagi supaya budak ini keluar dari agamanya. Jika dia menolak, maka tolaklah dia jatuh dari gunung tersebut." Maka mereka pun pergi ke gunung tersebut dan mendakinya.


Berkatalah budak tadi “Allahummakfinihim bima shi’ta” (YA Allah, selamatkan aku dari mereka dengan apa cara jua yang kau inginkan). Gunung tersebut mula bergoncang hingga menyebabkan semua pembantu-pembantu raja tadi terjatuh ke bawah. Budak tersebut kembali kepada raja sambil berjalan. Raja bertanya kepadanya, “Apa terjadi pada kawan-kawan kamu?”. Budak tersebut menjawab, “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka”. Kemudian budak tadi diserahkan lagi kepada sekumpulan daripada pembantu-pembantu raja tersebut. Raja berkata, "Pergilah kamu dengan budak ini dan bawalah dia menaiki kapal kecil, kemudian apabila kamu sampai ke tengah lautan, perintahkan supaya budak ini keluar dari agamanya. Jika dia menolak, maka tolaklah dia ke dalam laut tersebut. Mereka pun pergi dan berkata lagi budak itu, "Allahummakfinihim bima shi'ta". Kapal tersebut lalu terbalik, menenggelamkan mereka semua kecuali budak tadi, yang pulang berjalan kaki bertemu dengan raja. Berkata raja kepadanya, "Apa yang terjadi kepada kawan-kawan kamu?". Budak itu berkata, "Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka."


Budak tersebut kemudian berkata lagi kepada raja, "Kamu tidak akan dapat membunuh aku melainkan jika kamu melaksanakan apa yang aku perintahkan kepada kamu." Raja pun bertanya, "Apa dia perintahnya?" Budak tersebut menjawab, "Kumpulkan seluruh rakyat pada satu tanah lapang, kemudian ikatlah aku pada sebatang pokok. Ambillah sebatang anak panah dari bekas anak panahku, letakkan ia pada busurnya, kemudian katakanlah, "Bismillahi rabbil ghulam" (Dengan nama ALlah, Tuhan budak ini), kemudian panahlah aku. Kalau kamu melakukan sedemikian, maka kau akan dapat membunuh aku."


Raja pun memanggil seluruh rakyatnya untuk berkumpul di suatu tanah lapang dan diikatnya budak itu pada sebatang pokok. Kemudian dia mengambil sebatang anak panah dari bekas anak panah budak tadi, diletakkannya ke busur seraya berkata, "Bismillahi rabbil ghulam" dan dilepaskan anak panah tadi hingga terkena pada pelipis ( di antara dahi dan telinga ) budak tersebut. Budak tersebut memegang tempat terkenanya panah tadi kemudian dia pun meninggal dunia. Serentak dengan itu juga, berkatalah seluruh rakyat, "Aamannaa birabbil ghulam! Aamannaa birabbil ghulam! Aamanna birabbil ghulam!" (Kami beriman dengan Tuhan budak ini! Kami beriman dengan Tuhan budak ini! Kami beriman dengan Tuhan budak ini!). Datanglah pembantu-pembantu raja tadi dan dikatakan kepadanya, "Tidakkah kau nampak terjadinya perkara yang engkau takuti selama ini? Sesungguhnya ALlah telah mendatangkan perkara yang paling engkau takuti selama ini, iaitu dengan berimannya seluruh manusia."


Maka raja pun memerintahkan agar digali parit-parit di beberapa laluan penting di kawasan tersebut. Apabila parit-parit digali dan api dinyalakan di dalamnya, dikatakan kepada sekelian manusia, "Sesiapa yang tidak mahu keluar dari agamanya (agama budak tadi) akan dicampakkan ke dalam api atau akan dikatakan kepadanya supaya terjun ke dalam api." Seluruh rakyat memilih untuk dicampakkan ke dalam api dan tidak menukar agama mereka hingga datanglah seorang wanita bersama bayinya yang teragak-agak untuk terjun ke dalam api. Maka berkatalah bayinya yang masih kecil itu kepadanya, "Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya engkau berada dalam kebenaran."


Pengajaran & Pedoman

Dari kisah Ashabul Ukhdud terdapat banyak pengajaran yang perlu diambil oleh umat islam. Bersesuaian dengan hadis ini berada dalam Bab Sabar Riyadhus Solihin.
Raja memilih pemuda ini untuk dididik menjadi penyihir yang dapat membantunya, akan tetapi Allah menghendakinya menjadi seorang dai soleh yang menghancurkan kerajaannya dan memberi petunjuk kepada manusia kepada agama yang benar.
Mengorbankan jiwa pada jalan Allah bukanlah bermaksud membunuh diri. Sebagian dari orang-orang mukmin ada yang dicampak ke dalam api, ada pula yang terjun sendiri. Tujuan mereka bukanlah bunuh diri, akan tetapi hal itu mengandungi penghinaan kepada para thaghut dan keredhaan dari Rabbul alamin.
Kuatnya permusuhan orang-orang kafir terhadap orang-orang mukmin. Raja dan bala tentaranya telah menggergaji penasihatnya dan pendeta, lalu mereka membakar manusia dengan api.
Penjagaan Allah terhadap para wali-Nya dan penghinaan-Nya terhadap musuh-musuh-Nya. Allah telah menjaga pemuda ini dari usaha pembunuhan, menjawab doanya, dan membinasakan orang-orang yang kufur.
Kewajiban sabar atas dugaan yang menimpa pada jalan Allah sebagaimana sikap pendeta, penasihat raja, dan pemuda ini yang bersabar sebagaimana orang-orang mukmin dibakar api dengan kesabaran.
Dibolehkan BERHELAH ( TAURIYAH ) dalam perang dan yang sejenisnya. Pendeta ini menunjukkan kepada pemuda itu cara menjawab kepada ahli sihir jika dia menanyakan kelewatannya dan cara menjawab kepada keluarganya jika mereka menanyakan kelewatanya sampai di rumah. Pemuda itu memanipulasikan keluarga dan ahli sihir bagi tujuan berhelah.

Al-Faqiru Ilallah:
Ar-Rasyadan Al-Haqqi
28/01/09
8:17
Previous
Next Post »

2 comments

Write comments
Anonymous
AUTHOR
Wed Jan 28, 06:06:00 PM delete

Salam,
blh wat daurah tjuk ni. Nta la jd penceramah...nta kn cekapa bab panah memanah ni...hehe

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
Thu Jan 29, 08:53:00 AM delete

ada satu kisah seorang sahabat
dia menyuruh pekerjanya apabila ada orang datang cakap bahawa sahabat itu TIADA DI SINI ( sambil membuat satu tanda di tanah ). walhal sahabat itu ada di rumah. Jadi betullah bahawa sahabat itu tidak menipu kerana pekerja itu memberitahu sahabat itu tiada di sini ( tempat yg ditanda ). Faham ke tak?

Reply
avatar