#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Pendekatan Dakwah Dalam Ruqyah Islamiah


Artikel ini adalah hasil suntingan daripada slaid pembentangan saya di USIM yang bertajuk 'Pendekatan Dakwah Dalam Ruqyah Islamiah' pada 10 Mei 2014

PENDAHULUAN

Menurut Ibnu al-Qayyim di dalam Zaadul Maad bahawa perubatan Nabi s.a.w. ada tiga jenis:
Pertama: Ubat-ubatan Tabi'iah (Ubat-ubatan biasa)
Kedua: Perubatan Illahiyah (Ruqyah/jampi/doa-doa)
Ketiga: Gabungan kedua-duanya

Seiring dengan perkembangan semasa gabungan Perubatan Alopati dengan Perubatan Ruqyah perlu diperkasakan. Malah, Perubatan Ruqyah tidak dikenali sebagai Perubatan Alternatif tetapi dikenali sebagai Perubatan Komplementari.

Walaupun terdapat perbahasan tentang istilah Perubatan Islam, namun apa yang penting kita harmonikan dalam bentuk Perubatan Komplementari.

PERKARA GHAIBIYAT

Keimanan terhadap perkhabaran-perkhabaran ghaib yang diwahyukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Antaranya beriman terhadap Hari Akhirat, Alam Barzakh, Titian Sirat, Mizan, Malaikat, Jin dan sebagainya.

Aqidah yang benar dan iman yang selari dengan syarak merupakan asas terutama bagi seseorang muslim untuk meneruskan penghidupan yang diredhai di atas muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, di dalam kehidupan kita , termasuklah di dalam berubat sekalipun , Allah Ta’ala telah menetapkan peraturan-peraturan-Nya, contohnya:

Ertinya: “Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfa'at dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian), itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim".


KONSEP PERUBATAN

Asas Perubatan

Asas perubatan mengandungi dua perkara, iaitu penjagaan diri dan rawatan. Dalam kaedah yang kita pelajari, penjagaan diri adalah lebih baik daripada merawat penyakit ‘prevention is better than cure’.

Setiap penyakit ada ubatnya. Allah yang menjadikan penyakit.  Dialah yang menyediakan ubatnya. Setiap penyakit yang Allah berikan adalah ujian untuk kita. Untuk menguji kita sama ada kita syukur atau kufur kepada Allah.

Ujian Allah Sebagai Kaffarah

Kaffarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh hambanya. Ujian Allah itu boleh berlaku yang mungkin melibatkan kematian orang yang tersayang, kehilangan harta benda atau penyakit yang kritikal.

Dalam menghadapi ujian Allah kita diminta bersabar, seperti firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab” (az-Zumar: 10)

Sayyidatina Aisyah RA berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: “Tidak menimpa ke atas seseorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa”

Dalam hadith, daripada Suhaib RA berkata Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya menakjubkan keadaan orang Mukmin, kerana segala urusannya sangat baik baginya, dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi orang Mukmin. Apabila memperoleh kesenangan, dia bersyukur, yang demikian itu baik baginya. Dan apabila tertimpa kesusahan dia juga bersabar, yang demikian itupun baik baginya” 
Hadith riwayat Muslim dalam sahihnya [Kitab al-Zuhd wa al-Raqaiq no.hadith 7500]

Doa dan Rawatan

Allah menyuruh hambanya agar sentiasa berdoa kepadaNya. Orang yang berdoa bererti dia mengingati Allah. Setiap amalan yang dibuat mesti niat kerana Allah supaya amalan tersebut dikira sebagai ibadat  termasuk amalan rawatan

RUQYAH SYARIYYAH


Ruqyah yang dibenarkan (Ruqyah Syar’iyyah) mempunyai beberapa syarat menurut pandangan ulama. Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan bahawa sesuatu jampi itu HARUS dilakukan apabila memenuhi syarat-syarat berikut :

1. Menyebut Nama Allah dengan berzikir menggunakan Nama-Namanya
2. Dengan bahasa Arab dan dapat difaham maknanya                                                                          3. Beriktikad bahawa tidak berkesan apa-apa melainkan dengan takdir Allah swt

[Fatawa Mu'asyirah, 1/189].

Ada juga ulama-ulama yang menyatakan bahawa jampi tersebut boleh dibaca didalam apa-apa bahasa asalkan tahu maknanya dan bebas dari unsur-unsur syirik.

Malaikat Jibril a.s sendiri pernah menjampi Baginda Rasulullah s.a.w :

Daripada Abi Sa’id , beliau menceritakan: Malaikat Jibril pernah mendatangi Baginda Nabi s.a.w lalu bertanya: “ Wahai Muhammad ! Adakah dikau sakit ? “. Lalu dijawab oleh Baginda s.a.w : “ Ya ! “ . Lalu Jibril pun membaca : “ BISMILLAHI ARQIKA MIN KULLI SYAIIN YU’DZIKA , MIN KULLI NAFSIN AU ‘AININ HASIDIN , ALLAHU YASHFIKA , BISMILLAHI ARQIKA “ 

Ertinya : Dengan Nama Allah , aku menjampimu daripada segala sesuatu yang boleh menyakitimu , dan daripada kejahatan semua diri ataupun mata yang dengki. Allah akan menyembuhkanmu . Dengan Nama Allah , aku menjampimu.
Hadis Sahih riwayat Imam Muslim (rh) – Kitab As-Salam : 4056.

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri pernah menegaskan lagi mengenai KEHARUSAN BERJAMPI SECARA SYAR’IE ini dengan sabdanya :

Ertinya : Telah berkata Abu Zubair , aku pernah mendengar Jabir Bin Abdullah berkata : “Seorang lelaki daripada kalangan kami telah disengat kala jengking dan walhal ketika itu kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w . Maka berkatalah seorang lelaki : Wahai Rasulullah ! Bolehkan saya menjampinya ? . Maka baginda s.a.w pun bersabda : Sesiapa sahaja di kalangan kamu semua yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dia melakukannya ! “.
Hadis Sahih riwayat Imam Muslim rh di dalam Sahihnya, Kitab As-Salam : 4076 .

Tujuan Ruqyah

Imam Ibn Qayyim menyebut lagi (Zadul Ma’ad: 4/167-169): Ruqyah digunakan adalah untuk menjaga kesihatan dan mengubati penyakit.
  • Pertama: Menjaga Kesihatan, contohnya ada disebut dalam Sahih Bukhari dan Muslim (amal al-Muawwizat sebelum tidur)
  • Kedua: Mengubati penyakit, contohnya ruqyah dengan surah al-Fatihah seperti apa yang disebut dalam Sahih Bukhari dan Muslim: (Kisah Said al-Khudry)

KONSEP DAKWAH

Dakwah yang kita fahami ialah proses mengajak, menyeru dan membimbing manusia ke jalan Allah. Menyeru dalam erti kata membina asas Islam dalam diri manusia dan meruntuh anasir jahiliah di dalam dirinya. Dakwah juga adalah satu proses perubahan dan transformasi dari segala rupa kebobrokan kepada pencerahan jati diri hingga terbentuk satu ummah islamiah.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang- orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”. ( Fushshilat, 33)

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk.” (an-Nahl: 125)

Terdapat 3 pendekatan penting dalam gerak kerja dakwah iaitu:
1)      al-Hikmah
2)      al-Maw’izah al-Hasanah
3)      al-Mujaadalah bi al-Husna

Saya akan sentuh bab Hikmah sahaja.

Hikmah:

Kemampuan seseorang pendakwah untuk memerhatikan realiti setiap sasaran dakwah dan keadaan mereka lalu menyampaikan Islam dengan cara yang paling sesuai; kepelbagaian cara bercakap dan isi kandungan yang bersesuaian dengan kadar akal dan pemikiran sasaran dakwah, tanpa memberatkan mereka dengan perkara yang belum mampu dipikul mereka. Ia tidak dilakukan di atas dasar semangat yang berkobar-kobar semata-mata sehingga terkeluar dari orbit al-Hikmah.

Pertama:
Kenalpasti siapa sasaran dakwah kita

Kedua:
Sampaikan dakwah dengan cara yang paling sesuai dengan tahap sasaran dakwah

Syarat Menjadi Perawat

Syarat-syarat seorang Perawat (Raaqi) menurut Sheikh Abdullah Ibn Jibreen :
1) Membaca al-Quran dengan baik dan faham maknanya
2) Beraqidah dengan aqidah sahihah
3) Beramal soleh
4) Tidak semestinya mempunyai ilmu khusus atau ilmu yang mendalam (Kisah Said al-Khudry)
5) Niat yang ikhlas untuk bantu orang bukan semata-mata untuk dapatkan upah
[Al-Lu'lu' al-Makeen min Fataawaa Ibn Jibrin, ms. 22].



KAEDAH DAKWAH KEPADA PESAKIT

Pertama:
Tanya latar belakang diri dan keluarga. Dapatkan maklumat tentang penyakit; di mana, bila, bagaimana dll.

Kedua:
Jelaskan konsep rawatan dan penyembuhan dalam Islam. Menyakini bahawa Allah adalah penyembuh dan ubat / kaedah rawatan adalah asbab dan wasilah untuk sembuh.

Ketiga:
Memberi kefahaman tentang ujian yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Sakit adalah salah satu bentuk ujian yang Allah timpakan kepada orang Mukmin.  Setiap ujian perlu ditempuhi dengan sabar.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
 (al-Ankabut: 2)

Keempat:
Memberi nasihat agar menjauhi kaedah rawatan yang menyalahi syariat dan yang meragukan. Seperti pengamal perubatan yang menggunakan khidmat jin, menjalankan rawatan dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah (perawat lelaki merawat pesakit perempuan berdua-duaan di tempat yang sunyi) dan sebagainya.

"Barang siapa mendatangi ‘arraf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam." (Riwayat Muslim)

"Barang siapa mendatangi ‘Arraf (dukun) atau Kahin dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Quran)." (Riwayat Ahmad)

Adapun perbuatan mengunjungi dukun atau kahin yang menyeru makhluk selain Allah dalam perubatannya, ada dua hukum:

a. Dia telah syirik jika sekadar ingin tahu mengenai penyakitnya, dalilnya," sesiapa yg mendatangi bomoh/dukun untuk bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari. (HR Muslim)

b. Dia menjadi kafir jika bertanya dukun dan meyakini berita dukun tersebut.
(Ruj: Syaikh alGhazali, Laisa minal Islam; Syaikh Ismail asSulaimi, Mufti Yaman dalam koleksi fatwanya silsilah Fatawa Syar'iyah Fatwa no 17)

Kelima:
Mengajarkan kepada pesakit agar beramal dengan Ruqyah Syar’iyyah dan juga istiqomah dalam mengamalkan doa dan zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW dan para ulama. Contohnya: al-Mathurat, Zikir Pagi & Petang,  Doa dari Hisnu al-Muslim, Hizib dan lain-lain.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah“. Ketahuilah! Dengan "dzikrullah“ itu, tenang tenteramlah hati manusia. (ar-Ra’du: 28)

KAEDAH DAKWAH KEPADA JIN

Pertama:
Perhatikan keadaan jin tersebut sama ada
a)      Tenang : Perawat boleh berbincang dan gunakan kaedah yang lembut
b)      Agresif : Perawat boleh bertindak kasar (tetapi perlu dahului dengan amaran)

Kedua:
Selidik latarbelakang jin
a)      Punca mengganggu manusia (dihantar, dizalimi, menzalimi, suka dll)
b)      Berapa bilangan (tidak semestinya betul)

Ketiga:
Serulah kepada Islam. Sekiranya jin tersebut tidak mahu masuk Islam, jangan paksa. Tapi ceritakan tentang keindahan Islam. Sekiranya jin tersebut mahu masuk Islam, ajarkan syahadah dan ajarkan cara hidup Islam dan larangan menyakiti makhluk (manusia, jin).

Keempat:
Nasihatilah dengan cara yang baik agar jangan menzalimi manusia dan makhluk lain. Akan tetapi, jangan kita gunakan kaedah merayu, kerana jin akan bertambah sombong sekiranya manusia merayu kepadanya.

Persoalan Hukum

a) Membunuh Jin

“membunuh jin tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh adalah haram sebagaimana haramnya membunuh manusia, sebab yang demikian itu adalah termasuk dalam perlakuan zalim sepertimana diharamkan untuk membunuh seorang kafir” - Imam Ibnu Taimiyah dalam Kitab “Idah al-Dalalah fi ‘Umum al-Risalah”

Menurut Ibnu Abbas, ”membunuh jin tanpa hak adalah tidak harus sepertimana tidak harus untuk membunuh seorang manusia “

b) Hukum Berdialog Dengan Jin

"Bercakap dengan Jin tanpa sebab untuk mencarinya tidaklah ditegah, bahkan adalah baik untuk mengajak mereka (jin) kepada agama Allah dan patut kepada syariah, sepertimana yang dilakukan berdakwah keatas manusia. Tidak digalakkan membaca buku atau membaca ayat Al-Quran bagi tujuan ini, kerana al-Qur'an tidak diturunkan untuk melakukan perkara ini; ia diturunkan secara nur dan petunjuk didalam penghidupan seorang Islam, agar orang Islam dapat mengikutinya, mematuhi arahan dan mengelak dari apa yang dilarang“ - Pandangan Sheikh Abdul al-Kareem al-Khudayr 

KAEDAH DAKWAH KEPADA PESALAH

Pertama:
Memberi kesedaran tentang haramnya sihir dalam konteks syirik dan menzalimi manusia.

Kedua:
Serahkan urusan kepada pihak berkuasa

Ketiga:
Doakan semoga pesalah insaf dan bertaubat

Keempat:
Tidak digalakkan untuk membalas (menghantar semula) sihir yang dilakukan. Rujuk kisah Nabi disihir dan kisah Abdullah as-Saji.

RUJUKAN

1) Realiti Dan Cabaran Dalam Rawatan Islam: Analisis Hadith-hadith Tentang Pendekatan Dan Kaedah Rawatan Nabi Saw Merawat Penyakit Sihir. Khadher Ahmad dan Prof Madya Dr. Ishak Hj. Suliaman. Seminar Antarabangsa Sunnah Nabawiah: Realiti dan Cabaran Semasa (MUSNAD). 2013

2) Rawatan Islam Di Nusantara: Analisis Terhadap Pengamalan Kaedah Rawatan Yang Meragukan. Khadher Ahmad, Sedek Ariffin, Thuraya Ahmad, Norhasnira binti Ibrahim.

3) http://mufakkir-islami.blogspot.com/2013/02/buang-perangai-takut-hantu.html

4) ahkam.net

5) Sheikh Wahid Abd Salam Bali, al-Soorimu al-Battar fi at-Tasoddi LilSihrati al-Asyraar (terj)

6) Sheikh Wahid Abd Salam Bali, Wiqayatu al-Insani Min al-Jinni wa asy-Syaitani (terj)

7) Dato’ Dr Haron Din, Rawatan Penyakit Akibat Sihir

8) Dato’ Dr Haron Din, Pengenalan Makhluk Halus

9) Dato’ Dr Haron Din, Rawatan Penyakit Rohani

10) Dato’ Dr Haron Din, Konsep Perubatan Islam

11) Dato’ Dr Haron Din, Makhluk Halus Mengikut al-Quran & as-Sunnah

Disusun oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Previous
Next Post »