Susunan Ringkas berkaitan dengan Haiwan al-Jallalah (Haiwan yang diberi
makan najis dan kotoran)
A) Maksud Haiwan al-Jallalah:
Menurut ad-Dumairi Rahimahullah binatang yang makan najis dan tahi
dipanggil al-jallalah. Di dalam kitabnya Hayah al-Hayawan al-Kubra beliau
menyatakan:
Ertinya: dan al-Jallalah itu dalah binatang yang makan tahi dan
najis-najis sama ada binatang itu unta, sapi, kambing, ayam, angsa, ikan atau
selainnya daripada binatang yang boleh dimakan.
Menurut para ulama Hanafiyah: al-Jallalah adalah merupakan binatang
yang hanya menjadikan najis sebagai makanan asasinya tanpa memakan makanan yang
lain. Bau dagingnya juga akan berubah disebabkan pemakanannya yang sedemikian.
Manakala para ulama Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah pula
berpendapat bahawa maksud al-Jallalah ialah binatang yang selalunya menjadikan
najis sebagai makanannya tetapi turut memakan makanan yang lain selain daripada
najis.
Dalam istilah sains, ia dikenali sebagai Koprofagia (Coprophagous).
Koprofagia adalah haiwan yang memakan najis/kotoran, ia berasal dari bahasa
Yunani; copros (najis) dan phagein (makan).
Serangga Koprofagia memakan dan mencerna najis binatang yang lebih
besar; najis ini mengandungi makanan yang setengah telah dicerna. Sistem
pencernaan herbivor tidak terlalu efisien, jadi makanan yang sudah setengah
dicerna ini lebih mudah dimakan oleh mereka.
B ) Hukum Memakan Haiwan Al-Jallalah
Ulamak khilaf tentang hukum memakan haiwan al-Jallalah, Ia bersandarkan
pada hadis, Ibnu Umar Radiallahu anhuma meriwayatkan yang bermaksud:
“Rasulullah Shallallahu Alaihi wasallam menegah daripada memakan daing
binatang al-jallalah (binatang yang makan najis) dan meminum susunya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Manakala para ulama Hanabilah mengharamkan daging al-Jallalah untuk
dimakan. Ini seperti disebutkan di dalam kitab Kasyful Qhina’ dan al-Mughni li
Ibn Qudamah al-Maqdisi.
Imam Nawawi berkata di dalam al-Majmuk, bahawa menurut pendapat
al-ashah tegahan tersebut adalah bersifat makruh sahaja bila mana daging atau
susu binatang al-Jallalah itu berbau seperti bau najis.
Para ulama Malikiyah seperti yang disebutkan di dalam kitab Syarhul
Kabir dan Bidayatul Mujtahid mengharuskan untuk umat Islam memakan al-Jallalah.
Para ulama Hanafiyah, Syafieyah , Imam Malik sendiri, dan Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh untuk
dimakan.
Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006,
ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram
dimakan sekiranya ikan tersebut sengaja dipelihara di dalam air najis atau
sengaja diberi makan najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya.
C) Kuarantin dan Al-Istibra’ :
Sekiranya binatang itu dikurung (dikuarantinkan) untuk diberi makanan
suci sehingga hilang bau dan kesan najis padanya, maka memakan daging binatang
tersebut tidak haram malah tidak makruh.
Salah satu kaedah alternatif (selain sumber disepakati dan
diperselisihkan) ialah dengan menggunakan kaedah al-Istibra’. al-istibra’ dapat
difahami sebagai satu keadah pengkuarantinan bagi yang dicemari najis. Di sisi
lain ia juga merujuk kepada al-Habs, iaitu pengurungan dan penahanan.
Dalam perbincangan fiqh klasik, al-Istibra’ merujuk kepada proses
pengkuarantinan haiwan al-Jallalah seperti ayam, lembu, unta dan kambing yang
diberi makan makanan najis dan kotoran. Haiwan ini dikuarantinkan bagi tujuan
menghilangkan sifat najis yang terdapat padanya dengan diberi makanan yang suci
dan bersih.
Dalam hal ini juga, kaedah Istihalah boleh digunapakai kerana ia
melibatkan proses penyucian, iaitu penyucian kotoran yang ada di dalam haiwan
tersebut melalui proses kuarantin. Ia bertepatan dengan kaedah, "Benda
najis apabila dibersihkan dengan pembersih (konsep istihalah) apapun maka
menjadi suci"
Bagi tempoh masa kuaranti pula, ia tidak ditentukan kerana bergantung
kepada kebiasaaan sahaja. Seperti 40 hari untuk unta, 30 hari untuk lembu, 7
hari untuk kambing dan 3 hari untuk ayam. Sekiranya tempoh masa ini tidak
mencukupi untuk menghilangkan kesan najis, maka hendaklah panjangkan tempoh
masa tersebut (Hasyiyah asy-Syarqawi)
D) Petua Orang Lama:
Kebiasaan adat bagi orang tua, apabila membeli atau menangkap Ikan
Keli, sebelum ia ‘dimatikan’, ia akan dikuarantinkan terlebih dahulu di dalam
tempayan kerana ikan keli diketahui umum sebagai ikan yang memakan kotoran.
Ikan tersebut dikuarantinkan untuk beberapa hari supaya dengan cara tersebut
dapat membersihkan kotoran yang ada dalam Ikan Keli.
Sumber:
1) Isu-isu Produk Halal, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei. 2012
2) Halal dan Haram dalam Kepenggunaan Islam Semasa, Universiti Putra
Malaysia. 2013
3) https://id.wikipedia.org/wiki/Koprofagia
4)
http://www.astrodigi.com/2009/10/berpenampilan-marmut-bertubuh-seukuran_05.html
5)http://nazrulnasir.blogspot.com/2009/08/hukum-memakan-haiwan-jallalah.html
6)http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/status-kesucian-ikan-yang-diberi-makanan-tidak-halal
Disusun oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Bin Wan Hussin
www.rushdunk.blogspot.com
Sign up here with your email
2 comments
Write commentssedapnya keli. especially bila masak sambal. wahhh...
Replykira kalau nak masak keli, kene beli yg hidup la ye. pstu biar dalam tempayan beberapa hari baru disiang....
okay nice tips
memang sedap la keli ni masak sambal
Replytak semestinya beli yang hidup
kalau kita yakin, xde bau dan rasa najis pada zat keli tersebut
teruskan