Setiap
ujian yang Allah berikan, ada hikmah disebaliknya. Ujian itu adalah kaffarah untuk kesalahan yang kita telah
lakukan. Dan ujian akan memantapkan keimanan kita sekiranya kita sabar dan
redha.
Fitrah
bagi manusia, apabila ditimpa ujian kesihatan, mereka akan berusaha mencari
penawar untuk menyembuhkan penyakitnya. Kadangkala bagi sesetengah orang, apabila
dalam keadaan kesempitan kerana mencari penawar, mereka tersasar. Mencari penawartetapi rupanya mendapat penawar yang tidak baik. Ini sering terjadi dalam kessihir. Mahu merawat sihir rupanya terperangkap dengan sihir juga.
Apakah itu sihir?
Sihirmerupakan ilmu syaitan dan amalan mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Mereka (membelakangkan Kitab Allah)
dan Mengikut ajaran- ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam
masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir
yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir
(dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir…” (al-Baqarah, 102)
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud:
“Hindarilah tujuh perkara yang membawa
kepada kebinasaan. Para sahabat bertanya: Apakah perkara itu? Baginda menjawab;
Mempersekutukan Allah, Sihir….”
(Hadith riwayat al-Bukhari)
Dalil
di atas jelas menyatakan haram menggunakan sihir untuk tujuan apa pun, kerana
sihir adalah kebatilan dan tidak akan membawa kepada kebaikan dan wujud dalam
pelbagai jenis kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan.
Sehingga
Imam Az-Zahabi mengulas dalam bukunya Al-Kabair
bahawa ramai di kalangan manusia yang terlibat dengan amalan sihir tidak
menyedari yang mereka melakukan dosa yang amat besar sehingga boleh menyebabkan
diri mereka menjadi syirik dan kufur.
Berdasarkan
yang dicatatkan di dalam Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah (24/260-261) lafaz atau
perkataan yang berkaitan dengan sihir itu ialah:
1. Asy-Sya’wazah,
yakni kecekapan tangan untuk bertindak bagaikan sihir, sehinggalah sesuatu itu
dapat dilihat bukan lagi dalam bentuk asal.
2. An-Nusyrah,
yakni sejenis jampi penawar orang yang dikatakan diganggu jin.
3. Al-Azimah,
yakni tangkal yang digolongkan sebagai jampi.
4. Al-Riqiah,
yakni jampi penawar.
5. At-Tallasam,
yakni sesuatu yang digantungkan pada tubuh badan yang dianggap ada kaitannya
dengan bintang-bintang.
6. Al-Aufaq,
yakni angka atau huruf-huruf yang diletakkan pada sesuatu petak garisan
tertentu.
7. At-Tanjim,
yakni meramalkan sesuatu berdasarkan bintang-bintang.
Hukum an-Nusyrah
Ramai
yang pernah mendengar tentang an-Nusyrah, tetapi ramai juga keliru. Apakah yang
dimaksudkan dengan an-Nusyrah dan apa hukum beramal dengannya?
Persoalan
itu timbul lantaran kalimah an-Nusyrah mempunyai beberapa maksud dan ia
disesuaikan dengan nas yang dikeluarkan.
Para
ulama telah berbeza pendapat tentang an-Nusyrah disebabkan ia membawa pelbagai
maksud.
1) Cara
merawat dan jampi bagi merawat pesakit yang mengalami gangguan makhlus halus
2) Kaedah
merawat dengan menulis nama-nama Allah atau ayat-ayat al-Quran kemudian
dilarutkan dengan air dan diberi minum kepada pesakit sebagai ubat
3) Mengubati
sihir dengan perantaraan sihir juga
Harus
Bagi
mereka yang memahami an-Nusyrah sebagai kaedah merawat dengan menulis nama-nama
Allah atau ayat-ayat al-Quran kemudian dilarutkan dengan air dan diberi minum kepada
pesakit sebagai ubat, mereka memegang hukum an-Nusyrah adalah harus
al-Qurtubi
berkata:
“An-Nusyrah ialah menulis sesuatu
daripada nama-nama Allah atau ayat al-Quran kemudian disapu pada orang pesakit
atau diberi minum” (Hadith
riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari dalam Mawsu’ah al-Hadith)
Qatadah
berkata: “Aku berkata kepada Sa’id ibn
al-Musayyab RA: “Seorang lelaki telah disihir atau terhalang daripada
mendatangi isterinya, adakah hendak dileraikan sihir itu daripadanya atau dilakukan
an-Nusyrah? Jawab sa’id: Tidak mengapa, sesungguhnya mereka mahukan kebaikan
(dengan melakukan an-Nusyrah), makan apa sahaja yang bermanfaat tidak dilarang”
(Sahih al-Bukhari)
Sayyidatina
‘Aisyah RA pernah membaca al-Muawwizatain pada air dan disuruh agar air itu dituangkan
ke atas pesakit. al-Qurtubi juga berkata an-Nusyrah merupakan sejenis rawatan
iaitu basuhan sesuatu yang mempunyai kelebihan. Contohnya air wuduk Rasulullah SAW.
Haram
Bagi
yang memahami dengan maksud an-Nusyrah sebagai mengubati sihir dengan
perantaraan sihir ia membawa hukum Haram.
Ini
berdasarkan kepada hadith Jabir bin ‘Abdullah RA:
عن جابر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن النشرة ؟ فقال:"
هي من عمل الشيطان ". رواه أحمد بسند جيد وأبو داود
Nabi
SAW bersabda:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya
tentang an-Nusyrah lalu baginda bersabda: Ia merupakan sebahagian daripada perbuatan
syaitan” (Hadith
riwayat Ahmad, jil 3 ms, 294 dan Abu Daud: 3868. Hadis ini diklasifikan sebagai
Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abu Daud, no: 3868)
Para
ulama menjelaskan bahawa an-Nusyrah yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah
an-Nusyrah yang biasa difahami oleh orang arab sejak zaman jahiliah lagi iaitu
rawatan kepada orang yang kena sihir dengan menggunakan sihir.
Pengambilan
hukum haram daripada hadis itu adalah berdasarkan perkataan Nabi SAW mengkategorikan
pengubatan sihir dengan sihir sebagai amalan syaitan. Setiap amalan syaitan
adalah haram kerana syaitan sentiasa menyuruh kepada kejahatan, perbuatan keji
dan memperkatakan sesuatu yang tidak benar terhadap Allah.
Berkata
Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan Hafizahullah; "Adapun sesiapa yang
menfatwakan harus merungkaikan sihir dengan sihir yang seumpamanya, maka dia
telah tersilap dan salah dari banyak sudut;
1)
Fatwanya itu menyalahi fatwa-fatwa yang soheh yang disokong oleh dalil-dalil
syarak.
2)
Fatwa yang mengharuskan itu akan merangsang dan membanyakkan lagi bilangan
tukang sihir dengan alasan mahu menolong orang yang disihir.
3)
Fatwa seperti ini akan membatalkan hukum syarak yang memerintahkan agar dibunuh
tukang sihir seperti termaktub dalam hadis.
4)
Sesungguhnya Allah telah menjadikan ubat bagi mereka yang terkena sihir dengan
menggunakan an-Nusyrah as-Syar’iyyah.
5)
Sesungguhnya tidak boleh berubat dengan benda-benda yang haram seperti sabda
nabi yang bermaksud; "Berubatlah
kamu semua, dan janganlah berubat dengan benda-benda yang haram". Ibnu
Mas'ud berkata; "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kamu semua
dengan sesuatu yang diharamkannya kepadamu, dan sihir merupakan kekufuran yang
mengeluarkan seseorang dari agamanya. Dan sihir merupakan diantara dosa-dosa
besar, bagaimana ianya harus digunakan untuk berubat?
Rujukan:
1) Dato’
Dr Haron Din. 2010. Rawatan penyakit akibat sihir: cara mengelak, menentang dan
mengatasi sihir.
2) Mohd.
Yusof Arbain. 2007. Fatwa jin dan sihir: menghurai kemusykilan berkaitan jin
dan sihir.
3) Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned. 2000. Fatwa
mufti kerajaan Brunei
4) http://yeopmadiny.blogspot.com/2010/03/hukum-merungkai-sihir-menggunakan-sihir.html
Disusun oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Darussyifa' Bandar Baru Salak Tinggi
Disusun oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Darussyifa' Bandar Baru Salak Tinggi
Sign up here with your email
2 comments
Write commentssalam. jadi ke sambung master?
Replyinsyaallah tapi tak tahu bila
Reply