#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Pertengahan Ramadhan Bersama Murabbi

Akhir bulan Julai kali ini ditutup dengan pertemuan yang amat bermakna. Setelah berbincang akhirnya tokoh ilmuan terkenal Malaysia, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudi untuk menerima lawatan daripada pihak kami dalam menjayakan misi menghubungkan mahasiswa Islam dengan barisan tokoh dan ilmuan. 


Pertemuan itu dihadiri seramai 5 orang pimpinan GAMIS pusat serta beberapa anak didik Dr. Zulkifli Al-Bakri yang kebanyakannya mahasiswa daripada USIM. Pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam dimanfaatkan untuk mendapat beberapa noktah penting seputar isu yang melibatkan fiqh siasi dan isu-isu fiqh khususnya di Malaysia.



Dengan sifat yang begitu merendah diri, Dr. Zulkifli amat mengalu-alukan kedatangan kami ke pejabat baru beliau. Bahkan, beliau mencadangkan kepada peringkat GAMIS agar sentiasa bertemu dengan tokoh-tokoh ilmuan untuk mendapat manfaat daripada mereka dalam menyelesaikan isu-isu ummat  yang berlaku mutakhir ini. 


Pertemuan tersebut dimulai dengan taujihat motivasi daripada Dr. Zulkifli dengan mengambil kata-kata hikmah mantan timbalan rektor Universiti Madinah kepada mahasiswa, bahawa seharusnya mahasiswa ini menjadi pemimpin dan bukan hanya sekadar dipimpin. Memberikan gambaran kepada mahasiswa bahawa ada tanggungjawab yang perlu digalas oleh mahasiswa untuk membela ummat kini dan masa hadapan. Namun bukan hanya mahasiswa yang punya semangat (hamasah) yang kuat, akan tetapi perlu disulami dengan hikmah kebijaksanaan yang cerdas. 


“Saya tidak kagum dengan mahasiswa yang hanya bersemangat. Tapi pemuda yang disulami ilmu, ditambah dengan akhlak yang tinggi, dan pemikiran yang cukup besar, dan memberikan makna bahawa inilah Islam yang sebenar yang ingin dibawa”.


“Kita lihat Solahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, mereka ini bukan sahaja ada semangat, akan tetapi ada hikmah kebijaksanaan yang cukup luar biasa. Untuk menjadi seperti ini perlu kepada sejumlah pengorbanan. Mahasiswa perlu bijaksana, punya akal yang besar, dada yang lapang, akhlak yang luhur lagi mulia.”, tutur Dr. Zulkifli kepada kami selaku pimpinan mahasiswa, membawa satu pencerahan yang mampu memaknakan gerakan mahasiswa arus perdana.

Mahasiswa & Gerakan Islam: beberapa noktah penting


“antum a’lamu biumuri dunyakum, kamu lebih mengetahui dunia kemahasiswaan kamu”. Dr. Zul memuqadimahkan jawapan berkenaan peranan yang boleh mahasiswa mainkan dalam sesebuah gerakan. Tambahnya lagi, perkara pertama mahasiswa perlu membaca dan memahami maksud sebenar gerakan Islam.  Dengan mengambil kira konsep ‘bersatu terhadap perkara yang disepakati, dan berlapang dada terhadap perkara khilaf’, ia akan menentukan corak kita menilai yang mana satu musuh dan yang mana satu krisis kecil yang perlu diabaikan. Kedua, banyakkan bertemu tokoh-tokoh yang pelbagai, dengan melihat pandangan serta halatuju mereka. Setiap dari kita ialah pendakwah, bukan hakim sepertimana kata Syeikh Hassan Hudaibi. Maka, seharusnya kita memahami prinsip dakwah yang tegas, akan tetapi perlu memperhalusi asalib (bentuk) dakwah yang sebahagiannya bersifat ijtihadi, dan boleh dilihat keberkesanannya melalui kefahaman, pengalaman dan tajribah yang konsisten.

Ketiga, mahasiswa perlu ada sumber-sumber rujukan utama. Perlu bagi mahasiswa gerakan islam mengambil pandangan dan saranan tokoh arus perdana, bukan hanya sekadar picisan. Dr. Zul menyebut antara tokoh yang boleh dijadikan sandaran ialah Hassan Al-Banna, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Mustafa Mashyur, Dr. Muhammad Al-Ghazali dengan istintaj ilmi yang cukup hebat, Said Hawwa, dan Maulana Abi Hassan Ali An-Nadwi. Bahkan, kitab ‘Maza 
Khasiral Alam’ hasil buah tangan Maulana merupakan sebuah buku yang perlu difahami oleh mahasiswa pada hari ini.

Anjurkan Wacana, Simpulkan Tindakan


Di antara perkara yang amat dititik beratkan ialah memperkasakan siri-siri wacana ilmiah yang memberikan pencerahan terhadap kekaburan islam masa kini. Namun, wacana bukan dalam bentuk yang makro seperti perbincangan isu hudud, akan tetapi menjurus ke arah yang lebih serius. Seperti contoh, anjurkan wacana berkenaan isu kecurian, isu buang bayi, jual dadah, dan sebagainya yang lebih berfokus sekaligus mendatangkan sarana dan solusi yang tepat. Oleh sebab itu, setiap isu yang ingin dibawa perlu masak, dan keluarkan outcome yang jelas.

“Ini lah perkara yang pernah ditekankan oleh Guru kami, Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Kata beliau, di antara cabaran yang belum dapat ummat islam laksanakan ialah membuat taqnin. Tahap ini belum diperhalusi dengan elok. Sewajarnya, mahasiswa yang berjiwa besar perlu datangkan dengan satu perundangan (taqnin), sepertimana yang pernah dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Al-Ghazzali dengan Ahwal Syakhsiahnya dan Abdul Qader Audah dengan tasyri’ jinaie.

Perjuangkan Isu Dalam, seterusnya Luar.

Isu dalam yang dimaksudkan ialah berkenaan dengan sistem pendidikan mahasiswa, dan menghidupkan ruh islami di dalam universiti. Ini perkara yang perlu diambil berat oleh mahasiswa. Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang ber’akademik’ namun lesu. Bukan hanya terfokus kepada markah, pointer dan seumpamanya. Bahkan kita tidak mahu menjadi seperti Harvard, yang mana pernah seorang tenaga pengajar di sana mengatakan ‘aku melihat Harvard penuh ilmu namun tiada ruh’.

Kita lihat contoh Aristotle. Bagaimana beliau menghidupkan suasana pembelajaran yang kadangkala santai, namun amat bermakna. Pernah suatu ketika Aristotle melontarkan soalan berkenaan ‘iffah’ dan meminta pelajarnya membincang persoalan itu. Namun perkara ini amat membuka ufuk minda seorang pelajar untuk terus berfikir, bukan hanya disuap di kuliah pengajian.

Selain itu, mahasiswa juga boleh untuk memperjuangkan isu luaran seperti pengagihan zakat, institusi kehakiman, namun perlu berjumpa dengan pakar dalam perkara tersebut dan hadam segala maklumat berkaitannya.  Perkara ini perlu diteliti agar mahasiswa mampu untuk membawa mafahim (kefahaman) kepada ummat dalam konteks memberi kesedaran sebenar berkenaan Islam.


Pertemuan kami diakhiri dengan santapan juadah Iftar. Dr. Zulkifli menghadiahkan naskhah buku “ Nota buat Anakku’ kepada setiap pimpinan GAMIS yang hadir. Perkongsian ilmah itu sangat bermakna buat kami selaku pimpinan gerakan mahasiswa Islam dalam mencorak gerakan kini dan akan datang.

Sumber: web Gamis
Previous
Next Post »