#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Ancaman Buat Penjual Yang Menipu


Minggu ini, kita telah digemparkan dengan aktiviti penipuan penghasilan produk minuman berjenama Milo ‘tiruan’. Kes ini terbongkar hasil daripada rampasan yang telah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan (KPDNKK) di sebuah taman perumahan mewah di Mantin dengan nilai rampasan RM250,000.

Kes ini bukanlah isu yang baharu dalam penipuan jualan makanan. Sikap tidak jujur penjual makanan dapat dilihat seperti dalam kes ayam kampung ‘tiruan’. Penjual dipercayai mencelup daging ayam ternak ke dalam pewarna kuning agar menyerupai ayam kampung untuk menipu pengguna. Yang lebih mengerikan, pewarna tersebut disyaki pewarna yang digunakan untuk mewarnakan barangan kayu dan kulit (Aniline)

Yang sangat menyedihkan, kerana terlampau mengejar keuntungan ada segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab mengutip sayur-sayuran yang dibuang oleh peniaga pasar sebelum mereka ‘kitar semula’ dan menjualnya semula kepada orang ramai di Pasar Borong Selayang.

Isu tentang makanan juga perlu dipandang dengan skop yang lebih luas, bukan sahaja perlu dinilai pada makanan halal dan haram. Kita juga perlu menilai tentang keselamatan makanan yang disediakan.

Perbuatan ini bukan sahaja salah dari segi perundangan Malaysia dan syariah, malah ia melibatkan soal keselamatan dan kesihatan pengguna. Sehingga ia boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna. 

ISLAM MENGANCAM PENJUAL YANG TIDAK JUJUR

Dr Basri Ibrahim al-Hasani (Pensyarah UnisZa) mengulas isu tentang makanan di dalam buku beliau ‘Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa’, Islam mementingkan kebersihan dari semua aspek kehidupan termasuk makanan. Menyediakan makanan kepada pelanggan dengan cara yang tidak bersih, sama ada dari segi kandungan makanan, cara pembungkusan dan lain-lain yang boleh memudaratkan pengguna adalah perkara haram
Rasulullah SAW sendiri pernah menegur sikap peniaga di pasar Madinah yang menipu pelanggan dengan menjual makanan yang sudah rosak dan tidak berkualiti Seperti yang direkodkan oleh Imam Muslim

Dari Abu al-Hamra’, Rasulullah SAW bersabda:
من غشنا فليس منا
“Sesiapa yang menipu kita, adalah bukan dari kalangan kita”

Dan ia sejajar dengan apa yang Allah kehendaki:

إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan Dia tidak menerima kecuali yang baik”

Menurut Ustaz Abdul Muhaimin Mahmood, Penolong Pengarah JAKIM, “Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini, perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.”

Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT mafhumnya: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi” (Surah al-Mutaffifin 1-3)

Terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar disempurnakan sukatan dan timbangan dalam aktiviti pernigaan. Antaranya firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 35, mafhumnya: dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). 


Semua ayat tersebut memerintahkan agar disempurnakan timbangan dan sukatan. Bahkan dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian. Namunpun demikian, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.

Seharusnya semua pihak harus peka dengan permasalahan ini. Kerana ia melibatkan banyak aspek yang kritikal iaitu merangkumi soal halal haram, kesihatan, etika jual beli dan sebagainya. Sewajarnya tindakan yang lebih tegas perlu diambil mengelak dari ia terus berulang, dalam masa yang sama pendidikan tentang jujur dan amanah perlu sentiasa diterapkan dalam jiwa penjual.

Disusun oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Bin Wan Hussin
Ketua Koordinator
Usrah Fiqh Makanan

Usrah Fiqh Makanan (UFM) merupakan sebuah kumpulan yang giat menjalankan aktiviti intelektual seperti bengkel, ceramah dan sebagainya, Ia merangkumi soal halal haram makanan, makanan kesihatan, makanan sunnah dan lain-lain. Kumpulan ini beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan.

Previous
Next Post »