#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Malam Pertama Ramadhan Bersama Murabbi

Aku menoleh ke kiri, kulihat satu sosok tubuh begitu hampir denganku. Aku cukup mengenali diri beliau, dan tujuan aku ke sana juga adalah untuk berjumpa beliau. Aku beranikan diri untuk menghampiri beliau, dan ku hulurkan tangan untuk mengucup tangan beliau.

Seusai tarawih, beliau bangun untuk menyampaikan tazkirah. Sudah lama tak mendengar tausiyah beliau. Ringkas, padat dan terkesan di jiwa. 

Keistimewaan Ramadhan

Beliau memulakan tazkirah dengan membaca hadis berkaitan keistimewaan yang ada pada bulan Ramadhan.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda


“Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadhan, iaitu: 1) Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah taala. 2) Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka. 3) Allah SWT memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: ‘hampir-hampir hamba-ku yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan, lalu kembali kepadamu’ (mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat). 4) Syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti bulan-bulan lain selain Ramadhan. 5) Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya). Mengenai anugerah kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada baginda: ‘Ya rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatul Qadar? Baginda menjawab: ‘Bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalnya.’ (riwayat ahmad)

Ringkasan isi hadis 5 Keistimewaan Bulan Ramadhan

Kupasan beliau tentang isi pertama dengan mengaitkan antara bau mulut dan darah. Sangat menarik perkaitan yang diberikan. Pada zahirnya bau mulut orang yang perutnya kosong amat tidak menyenangkan, manakala darah yang keluar daripada tubuh adalah najis.  

Penilaian yang dibuat hendaklah berdasarkan sebab apa ia keluar. Sebab apa bau itu keluar? dan sebab apa darah itu terpancul dari tubuh? Bau itu keluar dari perut yang kosong kerana berpuasa, manakala darah yang terpancul keluar dari tubuh kerana syahid di jalan Allah. Sebab ia keluar menjadi asas kepada kemuliaan di sisi Allah SWT.

Mandian Syurga

Orang yang syahid di jalan Allah tak perlu dimandikan. Akan tetapi ada seorang sahabat nabi SAW yang syahid tetapi dimandikan. Beliau ialah Hanzollah B Abi Amir. Hanzollah merupakan pencatat urusan zakat bagi nabi SAW. Oleh kerana Hanzollah belum berkahwin, nabi sarankan beliau berkahwin dengan seorang wanita ansor. Lalu Hanzollah berkahwin.

Pada malam pertama perkahwinan Hazollah, tiba-tiba Hanzollah terjaga dari lena dan terdengar laungan seruan jihad. Bagi seorang sahabat yang beriman, Hanzolah terus bangkit ke medan jihad sehingga beliau syahid. Jumlah tentera islam yang syahid seramai 4 orang. Lalu dikumpulkan semua para syuhada. 

Para sahabat tercengang kebingungan, mengapa mayat Hanzollah yang penuh dengan kesan luka tetapi tiada sedikit pun darah yang keluar, malah ada kesan air, seolah-olah mayat tersebut telah dimandikan.

Berita ini disampaikan kepada baginda SAW, baginda hanya tersenyum. Lalu baginda menjelaskan bahawa mayat Hanzollah telah dimandikan oleh para malaikat yang membawa air dari syurga, kerana Hanzollah tidak sempat mandi junub setelah bersama isteri beliau pada malam pertama.

Bulan Al-Quran

Seterusnya, beliau mengaitkan bulan Ramadhan sebagai bulan al-Quran. Beliau menyarankan kepada kami semua agar sentiasa membaca al-quran. Paling kurang khatam 3 kali sepanjang Ramadhan, atau seminggu sekali khatam. 

Ia sangat berat kerana sebelum ini hanya mampu khatamkan sekali sahaja dalam bulan Ramadhan. Tetapi, memandangkan kelebihan yang cukup besar diberikan khusus untuk al-Quran, maka keazaman dan usaha mesti diteruskan.

Beliau Masih ‘Gah’

Hampir sahaja tamat tazkirah, beliau mengkhabarkan tentang kesihatan beliau. Kesihatan belum memuaskan, nafas agak pendek, sukar untuk bercakap lama. Dan beliau juga tidak boleh berdiri lama, kerana kaki akan membengkak. 

Pesanan TGHD yang disampaikan oleh Pengerusi Darussyifa'

Pesanan terakhir beliau agar realisasikan doa ‘sampaikan aku pada bulan Ramadhan’. Itulah Tuan Guru Dr Haron Din, walaupun dalam keadaan uzur, tetapi beliau masih bersemangat dalam perjuangan. Teringat semasa tazkirah lepas, apabila ada orang bertanya kepada Tuan Guru, "Tuan Guru nak bertanding (PRU) ke tahun ni", beliau menjawab "perlu tanya ke soalan itu?, Lawan tetap Lawan".

Previous
Next Post »