#Hartanah #Takaful #Makanan

#Hartanah #Takaful #Makanan
hi morning

Isu Keselamatan Makanan Menurut Perspektif Islam

Mutakhir ini isu keracunan makanan menjadi topik yang hangat di media arus perdana mahupun media alternatif. Walaupun isu ini seringkali dipaparkan menerusi media, tetapi sikap kita sebagai pengguna dan juga pengendali makanan tidak banyak berubah.

Adakah kita tahu bahawa angka kes keracunan makanan yang berlaku sepanjang Januari 2013 sehingga September 2013 adalah sebanyak 9,777 kes? Yang amat malang, daripada angka tersebut 6,795 adalah berlaku di sekolah dan institusi lain. Dan daripada 6,795, 5,185 kes adalah membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

Sudah tentu ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah semakin gusar tentang tahap keselamatan makanan anak-anak mereka ketika di sekolah. Ini yang melibatkan di tempat berpendidikan, bagaimana pula di pasar-pasar dan tempat awam.

Yang memeranjatkan, pada bulan ini sahaja (Oktober) tiga  pasar raya besar sekitar Lembah Klang didapati menjual produk makan luput tarikh dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Kes yang paling mengejutkan kita adalah kes keracunan makanan di Kedah yang telah mengakibatkan tiga  orang meninggal dunia, tiga orang kritikal manakala 59 orang dimasukkan ke dalam wad. Kes ini yang berpunca daripada lauk ayam yang dimakan ketika kenduri kahwin.

Tidak kurang juga kes makanan yang tidak selamat disebabkan oleh sikap tidak jujur penjual makanan seperti kes ayam kampung ‘tiruan’. Penjual dipercayai mencelup daging ayam ternak ke dalam pewarna kuning agar menyerupai ayam kampung untuk menipu pengguna. Yang lebih mengerikan, pewarna tersebut disyaki pewarna yang digunakan untuk mewarnakan barangan kayu dan kulit (Aniline)

Yang sangat menyedihkan, sikap memandang mudah tentang keselamatan makanan, kerana terlampau mengejar keuntungan. Seperti kes sayur ‘kitar semula’ yang dijual di Pasar Borong Selayang.

Kes ini telah beberapa kali berlaku, apabila warga Myanmar terus melakukan kegiatan mengutip sayur-sayuran yang dibuang oleh peniaga pasar borong sebelum mereka ‘kitar semula’ dan menjualnya semula kepada orang ramai.



Skop prihatin lebih luas

Isu tentang makanan perlu dipandang dengan skop yang lebih luas, bukan sahaja perlu dinilai pada makanan halal dan haram. Kita juga perlu menilai tentang keselamatan makanan yang disediakan.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi seorang ulama terkemuka, di dalam kitab beliau ‘Halal dan Haram dalam Islam’,  Islam mengharamkan semua benda yang dapat menghilangkan kesedaran, melemahkan urat saraf dan membahayakan tubuh badan.

Bermaksud skop makanan halal dan haram bukan sekadar dinilai pada kandungan makanan tersebut adakah mengandungi daging khinzir, arak dan sebagainya tetapi perlu diperluaskan kepada makanan yang dijamin selamat dan berkhasiat untuk manusia.

Dr Basri Ibrahim al-Hasani (Pensyarah UnisZa) mengulas isu tentang makanan di dalam buku beliau ‘Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa’, Islam mementingkan kebersihan dari semua aspek kehidupan termasuk makanan. Menyediakan makanan kepada pelanggan dengan cara yang tidak bersih, sama ada dari segi kandungan makanan, cara pembungkusan dan lain-lain yang boleh memudaratkan pengguna adalah perkara haram

Rasulullah SAW sendiri pernah menegur sikap peniaga di pasar Madinah yang menipu pelanggan dengan menjual makanan yang sudah rosak dan tidak berkualiti Seperti yang direkodkan oleh Imam Muslim

Dari Abu al-Hamra’, Rasulullah SAW bersabda:

من غشنا فليس منا
“Sesiapa yang menipu kita, adalah bukan dari kalangan kita”

Dan ia sejajar dengan apa yang Allah kehendaki:

إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan Dia tidak menerima kecuali yang baik”

Antara langkah-langkah  yang perlu diambil perhatian khususnya pengendali makanan ialah menambah ilmu pengetahuan berkaitan langkah penyedian makanan yang selamat serta mempraktikkannya. Bukan sekadar untuk mendapatkan sijil dari Kementerian Kesihatan tetapi mahu merebut saham di akhirat di atas usaha menyediakan makanan selamat kepada manusia. Kerana usaha ini amat selari dengan Okjektif Shariah (Maqasid al-Syar’iyyah)

Disediakan oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Bin Wan Hussin

*Artikel ini pernah disiarkan di portal berita Free Malaysia Today
Previous
Next Post »